Aku Dibius Cinta!


Ya Allah... jasadku terasa amat lemah sekali. Hatiku meroyan dan bicaranya menerawang jauh. Fikiranku kusut, kalut dan berbalut-balut. Aku umpama seorang penyelam yang akan lemas dipukul ombak bergulung-gulung di Segitiga Bermuda.

Amanah yang Engkau titipkan buatku berat benar adanya. Aku tersungkur... aku tak mampu lagi memikulnya. Aku sombong, angkuh dan bongkak... tika kegagahan geologi gunung-ganang menolak amanah ini, aku dengan pantas merampasnya dengan rakus.

Tapi, aku yakin belas kasihMu kepada hambaMu jauh lebih besar dan banyak daripada gugusan bintang gemintang di angkasa raya. Wahai tuhan yang maha besar! Kuatkan aku... pimpinlah tanganku. Bawalah aku ke destinasi sebenarku dengan rahmatMu yang maha luas.

Tidak ada yang bisa membantuku melainkan Engkau ya Allah... jangan tinggalkan aku. Selimutilah aku dengan rasa kecintaan menggunung kepadaMu. Bukan pada selain daripadaMu...

Janganlah dibiarkan nafsu, dunia dan syaitan melapah, menjamah dan merobek-robek sisa imanku yang masih tinggal. Aku menyintaiMu ya Allah... tolonglah aku, tolonglah aku, tolonglah... aku tahu ya Allah, sebentar lagi aku akan kembali kepadaMu...

Seni.


Bercakap tentang seni, dalam geologi pun ada menyentuh tentang konsep kesenian. Barangsiapa yang ingin menjadi Ahli Geologi, mereka mesti mempelajari sebuah kitab bertajuk Paleontologi. Kitab ini mengupas tentang kehidupan hidupan lampau. Biasanya yang disentuh adalah fosil. Fosil ini pula umumya terbahagi kepada mikrofosil (kecil, yang kadang-kadang terpaksa menggunakan mikroskop untuk melihatnya) dan makrofosil (besar). Atas sebab itu bakal atau Ahli Geologi berpeluang mempelajari satu objek dari sekecil-kecil atom sehingga sebesar-besar bumi. Apabila melihat objek yang seni, maka ia perlu kepada ketelitian, ketekunan, kepakaran, ketajaman dan jika perlu penghayatan di dalam mencerapnya. Daripada sini, bagi mereka yang bijak berfikir sebenarnya seorang Ahli Geologi semestinya juga ahli seni. Itupun jikalau konsep kesenian dalam geologi berjaya dicerna dan meresap di dalam diri mereka.

Seni... Sebenarnya apa itu seni? Saya pun tidak tahu apa itu seni... hehe, guraulah. Ada secuplikan di antara kita mengatakan seni itu ada pada silat, lukisan, nyanyian dan muzik. Betulkah? Betul... memang betul. Tapi bagi saya kalau kita menyempitkan sesuatu yang sememangnya luas, kita silap! Bagi saya seni ini adalah sangat luas. Sesuatu yang melambangkan kehalusan... ketelitian... kepakaran... kekhusyukkan/keasyikkan... kelembutan... kecantikan... keharuman... penghayatan.... ketajaman dan ketulusan. Maknanya setiap benda di dunia ini ada nilai seninya tersendiri termasuklah geologi, penulisan, pengucapan, kepimpinan dan lain-lain.

Dalam penulisan saya amat berminat dengan cara penulisan dua orang Sasterawan. Seorang Sasterawan Nusantara, Prof. Hamka. Seorang lagi Sasterawan Malaysia, Dato` Shahnon. Prof. Hamka ini lebih berkonsepkan kelemah-lembutan. Manakala Dato` Shahnon agak keras sedikit. Jikalau anda ingin mengetahui kesenian mereka di dalam penulisan, boleh membaca buku Tenggelamnya Kapal Van De Wijck dan Merantau ke Bali. Ini buku Prof. Hamka. Buku Dato` Shahnon yang terkenal pula adalah SHIT. Pelbagai metafora yang kita boleh lihat di dalam buku beliau. Apapun, bersamalah kita belajar dan mendaulatkan seni khususnya di dalam penulisan. Kerana penulis yang berjiwa seni akan menulis dengan menggunakan hatinya yang bersih dengan panduan akal. Impaknya, tulisan itu kelihatan seperti bernyawa dan menusuk ke lubuk hati pembaca. Tanpa seni, sesebuah tulisan itu mungkin umpama bangkai bernyawa. Mungkin... Bersama kita mencubanya! Babai...

6 Hari!

Saudara, tahukah anda berapa lama penciptaan langit dan bumi? Adakah 1000 tahun? 10,000 tahun? atau beribu-ribu lemon tahun? Mesti menarik perbincangan ini kan. Baiklah, sebenarnya langit dan bumi dicipta oleh Allah SWT hanya 6 hari (age, era, time) sahaja. Ini ada disebut di dalam Surah Hud ayat 7 bermaksud, "Dan Dia yang mencipta langit dan bumi dalam masa 6 hari dan adalah Arasynya di atas air...". Di dalam Alkitab terbitan Bible Society of Malaysia pun ada menyebutkan bahawa penciptaan alam ini mengambil masa 6 hari. Cuma, ada perbezaan tafsiran berkenaan dengan `6 hari` di antara Al-Quran dan Alkitab. Apapun, saya tidak berhasrat memanjangkannya di sini. Apa yang mengagumkan kita ialah, penemuan sains terkini turut membenarkan berkenaan `6 hari` itu. Menakjubkan!


Pasak motivasi yang boleh dipetik daripada kebesaran Allah SWT ini adalah berkenaan dengan disiplin masa. Apapun yang kita lakukan kalau ingin menggapai kejayaan, kita mestilah mempunyai disiplin masa yang kuat. Tempoh 6 hari itu sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita betapa perlunya perancangan sebelum menuntaskan sesuatu. Mesti ada penjadualan kerja. Dan, wajib ada sasaran. Ungkapan `masa itu emas` sudah tidak relevan lagi sekarang ini. Kerana, masa itu hakikatnya jauh lebih berharga daripada emas. Emas hilang boleh diganti. Masa yang berlalu, kerat jari sekalipun tidak akan kembali. Pemimpin Jepun pun telah meletakkan disiplin masa sebagai resolusi teratas untuk bangkit selepas kehancuran Hiroshima dan Nagasaki. Demikianlah kepentingan di dalam pengurusan masa.


Persoalannya sekarang, bagaimanakah yang dikatakan seorang yang mempunyai disiplin masa yang kuat? Dimudahkan bicara, pada saya seseorang itu dikatakan mempunyai disiplin masa yang kuat apabila, 1. Tidak bertangguh, 2. Membuat perancangan sistematik sebelum melakukan sesuatu, 3. Melaksanakan perancangan itu bersungguh-sungguh (sebelum, semasa dan selepas), 4. Menyelesaikan sesuatu masalah secara berkumpulan sekiranya ia lebih efektif (bijak menggunakan kemudahan yang ada), 5. Mendahulukan perkara yang perlu/senang terlebih dahulu sebelum yang kurang perlu/sukar, 6. Menyediakan keperluan urusan pada esok hari sebelum tidur (sentiasa bersedia lebih awal) dan 7. Sentiasa mengisi masa sewaktu lapang dan sihat, kerana kita tidak tahu bila masanya kita tiba-tiba sibuk dan sakit. Saya masih ingat pesan seorang kawan genius saya sewaktu di matrikulasi dulu, beliau mengatakan "... kasih sibuk-sibuk bah itu diri dengan kerja-kerja yang berfaedah...". Selamat mencuba!

PEMBERITAHUAN.

Ayat-ayat Al-Quran yang dipaparkan dalam blog ini adalah ayat yang bersifat SAINTIFIK. Justeru, GMC mengharapkan agar pengunjung-pengunjung yang bukan beragama Islam tidak berasa rimas melayari blog ini. GMC juga amat berbesar hati sekiranya ada pengunjung daripada agama lain yang sudi berkongsi ayat-ayat bersifat SAINTIFIK yang terdapat di dalam Kitab agama masing-masing. Sekiranya ada, sila tinggalkan di ruangan komen atau emelkan ke yangmemakmurkan@gmail.com. Terima kasih.

Tanah runtuh dan matlamat hidup. Kaitannya?


"... ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia..." (At-Taubah: 109)


Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, masih ingat? Ya, saya tumpang sedih atas apa yang telah berlaku. Takziah diucapkan kepada keluarga allahyarham/allayarhamah. Didoakan agar roh mereka yang telah pergi akan dicucuri rahmat.

Seperti mana yang kita ketahui, tragedi ini telah menyebabkan kerosakan teruk pada harta benda, kehilangan nyawa dan kecederaan. Amat tragis! Bagaimana insiden ini boleh berlaku? Adakah ianya disebabkan oleh struktur bangunan yang gagal? Adakah disebabkan oleh gegaran jentera berat yang lalu-lalang? Atau adakah disebabkan oleh hantu yang menghuni di kawasan tersebut? Jawapannya mungkin ya dan mungkin juga tidak.

Pakar-pakar yang berkaitan telah memberikan pandangan mereka termasuk pakar geologi dari universiti tempatan. Rakan-rakan Ahli Geologi yang bertugas di HQ dan berhampiran turut bergegas turun ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan. Apa yang saya boleh simpulkan adalah, tanah runtuh boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Tapi, bagi kes di Bukit Antarabangsa tanah runtuh itu berlaku disebabkan oleh tapak bangunan yang lemah. Sehingga tapak ini tidak mampu memikul beban bangunan yang ada di atasnya. Lantas tanah runtuh bersama dengan bangunannya sekali.

Secara geologinya, lemah atau kuatnya tapak ini bergantung kepada beberapa perkara seperti jenis batuan dasar, struktur geologi di kawasan tersebut, sistem air bawah tanah, kecerunan/ketinggian tapak binaan dari paras laut dan pokok/rumput yang menutupi permukaan. Maknanya, bagi mempastikan tapak itu kukuh harus dimuktamadkan bahawa batuan dasarnya keras, tiada/kurang struktur seperti sesar (retakan besar) dan kekar (retakan kecil) terutamanya di bawah tapak pembinaan bangunan tersebut, sistem air bawah tanah yang tidak mengancam keselamatan tapak, kekuatan struktur bangunan yang sepadan dengan kecerunan/ketinggian di mana ia dibina dan pokok/rumput ditanam sebagai penutup permukaan daripada tindakan hakisan.

Saudara, inilah natijah buruk yang kita terima sekiranya kita membina bangunan di atas tapak yang lemah. Demikian jugalah perkaitan di antara diri kita dan matlamat hidup. Diri kita juga akan `runtuh` seperti mana bangunan di Bukit Antarabangsa sekiranya kita tidak mempunyai matlamat hidup yang kuat, tepat dan jelas. Hidup tanpa matlamat umpama kita memanah tanpa sasaran. Bagai kita berjalan di dalam gelap. Seperti seorang buta tidak bertongkat yang terlari-lari dikejar anjing liar. Ya, saya percaya ramai yang tahu betapa perlunya ada matlamat ini. Tapi, saya yakin sedikit sahaja yang tahu bagaimana membentuk matlamat yang kuat, tepat dan jelas. Bagaiamana? Caranya adalah, jangan pisahkan matlamat kita dengan tujuan Allah SWT menciptakan kita. Kalau dipisahkan juga, sia-sialah hidup kita. Hanya fatamorgana.

Baik, tujuan Allah SWT ciptakan kita adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagai hamba bertakwa dan memakmurkan bumi ini dengan perintahNya, selaku khalifah. Ada dua kata kunci di sini, iaitu `Hamba Bertakwa` dan `Khalifah`. Ekoran itu, apa sahaja matlamat hidup yang kita bentuk mestilah mengarah ke arah dua kata kunci ini. Kebanyakan kita sedari kecil sudah diajar membentuk matlamat hidup. Malangnya, hampir semuanya sekular! Sebagai contoh, ibubapa/cikgu mungkin pernah bertanya kepada kita, "... Ali, apabila besar awak nak jadi apa?". Biasanya si Ali akan menjawab, "...abapila besar saya nak jadi doktor/guru/jurutera/dll..." Nampak? Hampir mustahil kita pernah mendengar sesiapa sahaja menjawab, "...apabila besar saya nak jadi doktor yang bertakwa dan menggunakan kepakaran saya untuk memakmurkan muka bumi ini..." Betul?

Kesimpulannya... kuat, tepat dan jelaskanlah matlamat hidup kita! Dan, yang paling penting jangan menjadi sekular. Pastikan matlamat yang dibentuk adalah selari dengan tujuan yang Maha Kuasa menciptakan jin dan manusia. Masih ada ruang untuk kita memperbetulkan kesilapan lalu. Tidak kira kita sebagai individu, ibubapa, guru, pemimpin dan seumpama dengannya. Jangan sampai suatu hari nanti, kita akan menyalahkan diri sendiri dan disalahkan pula oleh anak murid atau anak kita kerana kegagalan kita mengajar mereka membentuk matlamat hidup yang sebenar. Selamat mencuba!

Makluman


Saya sedang menghadiri Taklimat UNESCO di UKM. Harap maaf kerana, blog ini tidak dapat dikemaskini untuk beberapa hari. Apapun, teruskan bersama GMC demi pembinanaan peribadi yang unggul. Terima kasih!

Selamat Tahun Baru Cina!


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua.

Diberikan Betis, Nak Peha. Diberikan Peha, Nak...?


Apa khabar pembaca GMC sekalian? Saya doakan moga sihat dan ceria hendaknya di samping orang tersayang. Rasanya, sudah agak lama saya tidak mengemaskinikan blog ini. Bukan disengajakan, tapi dihambat dengan pelbagai kesibukan dan termasuk memberikan sedikit komitmen untuk memajukan blog Suara Anak Marudu (SAM). Sebenarnya blog ini baru diwujudkan dengan kerjasama beberapa orang anak tempatan Kota Marudu yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang bangsa, agama, tempat, fahaman politik dan kepakaran. Uniknya blog ini adalah kerana, walaupun terdapat pelbagai perbezaan tapi sidang redaksi SAM tetap boleh bersatu di atas nama `kesederhanaan` demi membela nasib rakyat di Kota Marudu yang suatu masa dulu terkenal dengan dengan kemiskinannya. Mungkin juga sehingga kini? Pada umumnya, blog ini diwujudkan untuk menjadi satu medan bersuara khususnya anak-anak kelahiran Kota Marudu. Bersuara khususnya tentang permasalahan rakyat di daerah ini agar dapat diselesaikan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Jika ingin mengetahui perkembangan terkini Kota Marudu, blog ini adalah yang terbaik untuk anda (sila klik di sini).

Baik... kita tinggalkan iklan itu sebentar. Kita pergi kepada pokok perbincangan. Saudara, kita selalu dengar, "diberikan betis nak peha...". Rasanya tidak perlu saya menerangkan maksudnya. Saya yakin saudara pun mengetahuinya. Cuma, saya ingin kaitkan peribahasa ini dengan sebuah cerita pendek berkenaan dengan seorang manusia yang bekerja sebagai tukang batu bernama Ali. Yang mahu menjadi makhluk terkuat di muka bumi (kerjaya sebagai tukang batu ini ada kaitan sedikit-sebanyak dengan Ahli Geologi dalam bidang tukul menukul batu).

Ceritanya macam ini... di sebuah kawasan pergunungan, Ali sedang menukul kaki gunung bagi mendapatkan bongkah-baongkah batu untuk dijual. Sedang si Ali khusyuk menukul batu tiba-tiba sang matahari memancarkan cahayanya dengan begitu terik. Ali berasa amat kepanasan. Lalu, dengan sifat tamak yang ada pada Ali, dia bermohon pada Allah SWT untuk menjadikan dirinya sebagai matahari. Kerana dia merasakan matahari itu lebih kuat daripadanya. Allah SWT makbulkan, Ali pun menjadi matahari.

Ali dengan sombongnya mengeluarkan cahayanya sehingga memanaskan tukang-tukang batu yang lain. Tidak semena-mena, sekumpulan awan pun lalu. Apa lagi, cahaya si Ali pun terhalang dek awan yang lalu itu. Si Ali rasa dirinya tercabar dan tidak hebat lagi. Lantas dia berdoa lagi supaya dirinya yang sekarang matahari ditukarkan kepada awan. Dimakbulkan. Kini dia boleh mengalahkan si matahari.

Dalam keadaan dia ketawa terbahak-bahak umpama orang yang baru menang nombor ekor, TOTO (tipu orang tiada otak) ha ha ha, tiba-tiba dia merasakan dirinya bergerak. Rupanya, angin sedang bertiup dan menggerakkan si Ali ke sana-sini. Seperti biasa, Ali masih tidak berpuas hati. Tidak cukup dengan betis dia nak yang lebih atas lagi. Tanpa melengahkan masa Ali berdoa minta dijadikan angin. Dimakbulkan juga.

Dengan menggunakan kegagahannya, dia melanggar semua awan yang menghalangnya. Si Ali merasakan dialah yang paling kuat dan berkuasa kini. Tiba-tiba di satu sudut, pergerakannya terhalang oleh satu tembok yang besar. Apabila dilihat sekitar, rupa-rupanya tembok itu adalah gunung yang ditukulnya sewaktu menjadi tukang batu dahulu.

Justeru, dengan tidak memikir panjang lagi dia berdoa agar ditukarkan daripada angin menjadi gunung. Dengan sifat pemurahNya, dimakbulkan juga permintaannya itu. Kini Ali menjadi gunung yang gah berdiri menjadi pasak bumi. Dengan hati yang haloba, dia melihat sekitar permukaan bumi dengan angkuhnya. Lalu dia menjerit, "... ha ha ha! akulah yang paling perkasa di muka bumi ini!!!..." Gayanya berucap umpama presiden Amerika Syarikat yang baru menang pilihanraya.

Dalam keasyikannya mengalunkan intonasi ucapannya yang ala-ala Presiden Soekarno itu, tiba-tiba terasa semacam ada `semut` menggigit kakinya. Apabila ditoleh, rupa-rupanya kakinya sedang ditukul oleh si tukang batu. Alangkah menyesalnya dia... rupanya si tukang batu itu adalah lebih kuat dan berkuasa daripadanya. Tidak lama lagi gunung itu akan rata dikerjakan oleh si tukang-tukang batu tadi. Tapi... pada masa ini, menyesalpun tidak berguna lagi. Kerana, Allah SWT tidak lagi mendengar doanya. Menangislah si Ali yang kini menjadi gunung menanti saat-saat kemusnahan...

Saudara, demikianlah ceritanya. Apa yang saya faham maksud peribahasa itu adalah, bahawa kita tidak pernah puas dengan apa yang kita ada sekarang (walaupun itulah sebenarnya yang terbaik). Kita inginkan sesuatu yang `lebih` berbanding yang sedia ada. Saya percaya, rata-rata manusia mempunyai sifat seperti ini. Ada baik dan buruknya mempunyai sifat tersebut. Buruknya adalah, orang tamak selalu rugi bagai anjing dengan bayang-bayang. Baiknya pula adalah kita akan terdorong untuk sentiasa berusaha dan berdoa untuk menjadi yang terbaik. Dengan syarat!!! pastikan perubahan itu didasarkan kepada sifat bersyukur dan redha dengan takdir yang Allah SWT tentukan buat kita. Ingat!!! Jangan menjadi seperti orang diberikan betis, nak peha. Siapa tahu pehanya berkurap, ha ha ha. Okey............ semoga ada manfaatnya untuk anda! dan juga untuk saya. Jumpa lagi...



Nota: Cerita asal bagi post ini telah diubahsuai secara bebas oleh penulis, tapi tetap memelihara asas jalan cerita dan seni penulisannya.

Antara Intan (Diamond) dan Perjuangan Anak Marudu!


Saya pasti semua tahu apa itu intan. Intan merupakan sejenis mineral/batu permata yang paling sukar dicari. Paling mahal dan paling keras (10 skala mohs). Sebab sifat-sifat istimewa itu, intan amat diperlukan di dalam industri berat ataupun ringan. Salah satu kegunaan intan dalam industri adalah sebagai mata gerudi bagi tujuan penggerudian kerak bumi yang dalam. Selain itu intan juga melambangkan kemewahan dan kasih-sayang. Dan... ada yang menggunakan intan sebagai tujuan perubatan (betul kaitu Sdr. Mufakiralam? hehe). Tapi, tahukah anda bagaimana intan terbentuk dan dimana ia boleh didapati? Adakah intan ini wujud di Malaysia? Atau di Kota Marudu? hehe...

Ringkasnya, intan hanya terbentuk melalui kombinasi tekanan dan suhu yang sesuai (tekanan kira-kira 45-60 kilobars dan suhu 900–1300 °C). Tempat kombinasi yang sesuai ini hanya terdapat di dua tempat sahaja. Pertama di Cratons (kerak benua yang tua dan stabil. Berusia paling kurang 500 juta tahun dan ada sesetengahnya lebih 2 bilion tahun. Kedalamannya kira-kira 140–190 kilometer di bawah permukaan bumi) dan kedua pada litosfera bumi yang terkena hentaman meteorit. Di Malaysia tempat yang tertua adalah Formasi Macichang, Langkawi (berusia Cambrian iaitu lebih kurang 500 juta tahun). Maknanya, di Malaysia tiada intan. Apatah lagi Kota Marudu yang buminya masih muda. Tapi, berdasarkan kajian kemungkinan wujud intan di sempadan antara Sabah Sarawak dan Kalimantan. Adeh... kempunanlah kita, hehe.

Baik... kaitan intan dengan perjuangan? Saya jawab begini, apa ertinya semua keitimewaan intan itu kalau tidak dikeluarkan/terkeluar ke permukaan bumi dan diproses untuk manfaat hidup manusia? Apa ertinya intan itu kalau hanya terperap di dalam perut bumi? Ya, saya yakin anda bersetuju dengan saya bahawa tiada ertinya intan itu walau keistimewaannya setinggi langit, kalau tidak keluar dari `pertapaannya`. Justeru, demikian jugalah ceritanya tentang golongan cerdik pandai (`intan`) di Kota Marudu ini. Saya percaya kita tidak kekurangan golongan seperti ini. Tapi, amatlah malang kalau sekadar cerdik dan pandai tapi tidak mahu/boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan anak bangsa di Kota Marudu. Golongan seperti ini adalah golongan yang hanya mementingkan diri sendiri. Tidak menghiraukan nasib orang-orang di sekitarnya.

Saya teringat kisah sebuah kaum pada zaman dahulu. Kaum ini adalah kaum yang telah rosak akhlaknya. Mereka tidak patuh pada perintah Tuhan yang menciptakan mereka. Mereka angkuh dan sombong kepada Tuhan mereka. Lalu, Allah mengutuskan malaikat untuk menghancurkan kaum itu. Apabila malaikat turun ke bumi, malaikat itu nampak masih ada dua orang sedang sujud kepadaNya. Malaikat itu melaporkan kepada Allah tentang perkara itu. Lantas, Allah berfirman kepada malaikat itu, "... hancurkan yang dua orang itu dulu! Kemudian hancurkan yang lain...". Ini kerana, dua orang yang sedang sujud itu tidak memperdulikan orang di sekitar mereka yang sedang rosak.

Saudara, inilah akibatnya jikalau kita hanya memikirkan diri kita sendiri. Inilah akibatnya kalau kita tidak memikirkan soal pembangunan agama, bangsa dan negara kita. Jadi, saya menyeru khususnya kepada yang belum mendapat seru... keluarlah dari `pertapaan` kalian yang panjang. Sanguru telah merintis jalan keluar dari gua itu, sama-samalah kita mengikut jejaknya... Ya, kita bukan jutawan yang boleh menyumbang berjuta-juta. Kita bukan mahaguru yang penuh berhikmah. Dan... kita bukan pahlawan yang sanggup menggadaikan nyawa. Tapi... sekurang-kurangnya, bersuaralah. Bersuaralah... bersama-sama dengan Suara Anak Marudu (SAM). Demi... membina sebuah tamadun bangsa di Kota Marudu tercinta ini. Janganlah menjadi seperti intan yang hanya terperap di dalam bumi. Keluarlah wahai `intan-intan` Kota Marudu.... Wallahua`lam.

Perihal Batu Lumpur (Mudstone) dan Bangsaku Dusun Kimaragang...



“Perihal Batu Lumpur (Mudstone) & Bangsaku Dusun Kimaragang”, tajuk yang pelik kan. Ya, pelik tapi benar. Saudara, dalam bumi ini terdapat 3 kumpulan batuan iaitu batuan sedimen, batuan igneus dan batuan metamorf. Masing-masing mempunyai kaedah pembentukannya yang tersendiri. Tapi saya akan memfokuskan huraian saya kali ini pada batuan sedimen sahaja atau lebih fokus lagi iaitu batu lumpur. Ringkasnya, batuan sedimen terbentuk daripada pemendapan, penyimenan, pembatuan atau proses lain yang bertindak terhadap zarah jirim pepejal atau yang terlarut di dalam air, diendapkan pada suhu normal di permukaan bumi. Saiz butiran batu lumpur ini adalah sangat halus (< 0.005mm). Berwarna cerah hingga gelap, keperangan dan kemerahan. Banyak fosil ditemui di dalam batu jenis ini.

Walaubagaimanapun, batu lumpur merupakan antara batu yang paling lemah jika dibandingkan dengan batuan lain. Kalau batuan lain tidak wujud, batu inilah yang paling kuat, ha ha ha. Kelemahan batu ini amat terserlah apabila ia berada di kalangan batuan yang lain. Misalnya batuan igneus. Apabila berlaku penerobosan batuan igneus, batu lumpur yang berada di sekitar kawasan penerobosan ini akan termetamorf (berubah komposisi mineral, tekstur dan struktur kerana terkena suhu dan tekanan yang tinggi) menjadi batu lain iaitu hornfels. Pada masa itu sifat asal batu lumpur bukan sahaja ketinggalan tapi sudah hilang sama sekali.

Apabila saya memikirkan tentang diri dan bangsa saya... hati saya berbisik bahawa ada persamaan yang kuat dengan cerita batu lumpur tadi. Tidak perlu memandang kepada orang lain, lihat diri sendiri. Dilahirkan dalam sebuah teratak usang. Makanan nasi berlaukkan garam, berkuahkan air sejuk. Dan dibesarkan dalam serba-serbi kekurangan. Sekarang, selepas bekerja barulah boleh bangkit. Ya, baru mula bangkit dari kemiskinan yang panjang. Apabila saya melihat sekeliling, rupanya ada lagi anak bangsa saya yang jauh lebih teruk daripada saya. Sebagai seorang yang cintakan bangsa... pastilah terasa amat sedih.

Tidak dinafikan, ada juga yang berjaya menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan lain-lain. Ada itu ada, tapi boleh dibilang dengan gigi, ha ha ha! Kita masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa yang lain. Ketinggalan dari segi kebebasan berfikir, pendidikan, sosioekonomi, kematangan berpolitik, kaedah-kaedah pembentukan anak bangsa yang cemerlang dan beberapa lagi yang lain.

Saya lihat tabiat yang boleh saya sifatkan sebagai bahaya di kalangan anak bangsa ini adalah budaya minum arak. Walaupun hanya segelintir sahaja yang terlibat, tapi bagi saya arak merupakan salah satu faktor yang memundurkan mereka. Budaya minum arak ini sudah sampai ke tahap keterlaluan. Minum arak secara terbuka tanpa menghiraukan sensitiviti orang lain. Selepas minum arak, banyak pula angkara buruk menyusul. Bergaduh sesama sendiri, pergaulan bebas dan tidak kurang juga berita yang kita dengar banyak kes kematian berlaku akibat daripada arak ini.

Islam jelas mengharamkan arak. Tapi sebagai seorang muslim, kita perlu menghormati hak agama lain yang tidak menghalangnya. Baik, ketepikan dululah sekejap soal hukum-hakam agama. Kita berhujah dari aspek kesihatan. Dari aspek kesihatan, arak itu sesuatu yang mematikan akal. Apabila akal mati, samalah kita seperti binatang yang hanya diberikan nafsu tapi tidak berakal. Bagaimana mungkin `binatang` boleh membangkitkan dan memajukan bangsa kita yang tercinta ini? Hei! Hentikan semua itu... cukuplah. Bangkitlah daripada kemunduran kita yang panjang ini. Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita berusaha memisahkan arak ini daripada terus mencengkam budaya segelintir anak bangsa kita.

Jikalau saya ditanya, apa formula ajaib untuk memajukan bangsa Dusun Kimaragang ini? Saya akan jawab, langkah pertama adalah `perkasakan dulu pemikiran anak-anak bangsa Dusun Kimaragang`. Golongan cerdik pandai daripada bangsa ini mesti turun padang memberikan seminar/kursus motivasi percuma kepada masyarakat Dusun Kimaragang dari kampung ke kampung. Bentukkan persepsi baru kepada mereka. Persepsi lama sudah berkarat dan berulat.

Pertama, sedarkan mereka apa tujuan Tuhan ciptakan kita. Kedua, pastikan setiap anak bangsa ini mempunyai matlamat hidup yang jelas. Ketiga, pandu mereka di dalam merancang bagaimana mencapai matlamat itu. Keempat, tiupkan semangat juang yang tinggi kepada mereka supaya mereka gigih berusaha mencapai matlamat itu. Keenam, install ilmu-ilmu semasa tentang kemajuan kepada mereka. Ketujuh, mentorkan mereka kepada orang-orang berwibawa di kalangan kita.

Selepas itu, senyumlah... melihat perubahan anak bangsa Dusun Kimaragang. Apabila tiba detik-detik manis itu, bakal-bakal YB tidak perlu risau lagi. Calon yang ikhlas dalam perjuangan pasti akan menang. Kerana rakyat pada masa itu mengundi dengan menggunakan akal yang tajam. Bukan dengan nafsu yang dahagakan sekampit beras pilihanraya. Ayuh bangsaku! Bangkitlah daripada status batu lumpur yang lemah kepada batuan igneus yang gagah dan bisa pula mempengaruhi sekitarnya. Wallahua`lam...
Related Posts with Thumbnails

WHAT DOES GEOLOGIST DO

Geologists work to understand the history of our planet. The better they can understand Earth’s history the better they can foresee how events and processes of the past might influence the future.

WHAT IS GEOLOGY

Geology is the study of the Earth, the materials of which it is made, the structure of those materials, and the processes acting upon them. It includes the study of organisms that have inhabited our planet. An important part of geology is the study of how Earth’s materials, structures, processes and organisms have changed over time.

GEOLOGY AS A CAREER

Geologists work in a variety of settings. These include: natural resource companies, environmental consulting companies, government agencies, non-profit organizations, and universities. Many geologists do field work at least part of the time. Others spend their time in laboratories, classrooms or offices. All geologists prepare reports, do calculations and use computers.

  © Blogger templates GeoMotivator.Com by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP