Apa makna jiwa besar? Apabila bercakap tentang pentakrifan jiwa besar, kita tidak boleh lari daripada mengaitkannya dengan perkataan merdeka. Berdasarkan pembacaan saya, perkataan merdeka berasal daripada Bahasa Sanskrit, mahardika. Perkataan ini terdiri daripada dua kata dasar iaitu maha dan ardika. Maha bererti besar, sedangkan ardika bererti jiwa. Jadi, perkataan merdeka mengandung makna jiwa besar. Dengan demikian negarabangsa yang merdeka semestinyalah adalah negarabangsa yang memiliki jiwa besar. Itu tentang asal-usul perkataan jiwa besar. Jadi, bagi mendefinisikan perkataan jiwa besar maknanya kita berbicara tentang takrif merdeka.
Bermacam-macam pula pengertian merdeka ini. Tapi, dalam puluhan `mazhab` itu pendefinisian mereka tidak lekang daripada perkataan `bebas`. Bebas daripada penjajahan, bebas membentuk halatuju sendiri, bebas mengatur corak sosial, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Pendek kata, bebas daripada sebarang `perkara buruk`. `Perkara buruk` itu pula mencakupi pelbagai bidang. Bemula dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan dunia seluruhnya. Demikian jugalah pendefinisian bagi perkataan jiwa besar itu.
Bagi seorang pemimpin, memiliki jiwa besar ini sangat penting. Tidak kiralah anda pemimpin apa. Maknanya, seorang pemimpin yang berjiwa besar itu meletakkan Tuhannya melebihi makhlukNya. Kita mungkin boleh `bebas` daripada mahklukNya, tapi kita tidak akan boleh bebas daripada Tuhan, kan? Sejurus selepas kita menyemai sifat di atas di dalam diri kita, akan lahirlah sifat-sifat pemimpin sejati secara sendirinya. Berani, tabah, berkeyakinan, pantas, berkarisma, tajam membaca masa depan, inovatif, kreatif, produktif, menawan hati rakyat, zuhud, wara` dan pelbagai lagi sifat lain. Kalau kita meletakkan makhlukNya mengatasi Tuhan, habislah. Parti/jemaah hanya akan digunakan untuk mencari makan, memenuhkan periuk nasi sendiri dan kerabat. Sepatutnya apa? Sepatutnya parti/jemaah itu digunakan untuk berjuang bukan untuk `cari makan`.
Bercakap tentang ini saya teringat kisah suka-duka semasa menjadi pemimpin mahasiswa dulu. Ya, tidak dinafikan ada juga kegagalan yang dihadapi. Pun begitu, ada juga beberapa kejayaan yang dikecapi. Pemimpin mahasiswa juga mesti mempunyai jiwa yang besar. Maklumlah yang dipimpin itu bukan budak tadika. Kesemuanya golongan terpelajar yang bakal mencorakkan negara pada masa akan datang. Saya pernah duduk sepentas dengan pensyarah berstatus profesor di dalam forum yang membincangkan isu mahasiswa/i. Pada mulanya berbincang. Di pertengahan bertukar menjadi perdebatan dan akhirnya pengerusi menyimpulkan bahawa hujah saya yang diterima pakai dan bukan profesor itu.
Profesor itu tidak puas hati walaupun forum itu sudah sebulan berlalu. Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah, tanpa jiwa yang besar mana-mana pemimpin mahasiswa akan kecut perut berdebat dengan seseorang yang berstatus profesor. Selain itu, saya juga turut mencadangkan agar pemimpin mahasiswa diberikan peluang berkhutbah jumaat di dalam masjid universiti. Cadangan saya diterima dan saya telah menghantar hampir 10 nama untuk menjadi khatib jumaat. Salah seorangnya adalah saya.
Saya persoalkan bagaimana mekanisma pengagihan itu? (cukup berlapiklah tu... niat saya sebenarnya nak protes kenapa Sabah masih mundur, walau hasil buminya banyak). Soalan kedua berkenaan dengan kaedah di pihak kerajaan di dalam membanteras gejala sosial di kalangan remaja. Hujah saya, kenapa kita hamburkan wang rakyat untuk membuat kempen itu ini, sedangkan kita biarkan punca-punca gejala itu terus hidup subur. Seperti pusat hiburan, judi, arak dan lain-lain lagi. Bukankah usaha membanteras itu akan tercantas dengan sendirinya? Membazir! Sekali lagi tanpa jiwa yang besar ia sukar untuk dilakukan.
Tetapi, apa yang penting adalah kita ikhlas menegakkan suruhan Tuhan. Hanya takut pada Tuhan dan tidak sama sekali kepada mahklukNya. Kepada kawan-kawan yang membaca entri ini, apa khabar? Mudah-mudahan perjuangan kita itu dapat diteruskan walau di mana kita berada. Paling tidak, kita mampu memimpin diri sendiri agar tidak terkucil dari landasanNya.
2 comments:
Ya Tuhan... berikan kami jiwa yg besar. Jiwa yang x gentar selain kepada Engkau. Keyakinan kami hanya kepadaMU. Hanya Engkau tempat kami bergantung.............. :-)
pemerhati bebas
Pemerhati,
Sejauh mana `bebas`nya anda? He he... Amin. Doa itu hanya keluar dari mulut org yg bakal memiliki jiwa yg besar. Syabas!
Post a Comment