Saya pasti semua tahu apa itu intan. Intan merupakan sejenis mineral/batu permata yang paling sukar dicari. Paling mahal dan paling keras (10 skala mohs). Sebab sifat-sifat istimewa itu, intan amat diperlukan di dalam industri berat ataupun ringan. Salah satu kegunaan intan dalam industri adalah sebagai mata gerudi bagi tujuan penggerudian kerak bumi yang dalam. Selain itu intan juga melambangkan kemewahan dan kasih-sayang. Dan... ada yang menggunakan intan sebagai tujuan perubatan (betul kaitu Sdr. Mufakiralam? hehe). Tapi, tahukah anda bagaimana intan terbentuk dan dimana ia boleh didapati? Adakah intan ini wujud di Malaysia? Atau di Kota Marudu? hehe...
Ringkasnya, intan hanya terbentuk melalui kombinasi tekanan dan suhu yang sesuai (tekanan kira-kira 45-60 kilobars dan suhu 900–1300 °C). Tempat kombinasi yang sesuai ini hanya terdapat di dua tempat sahaja. Pertama di Cratons (kerak benua yang tua dan stabil. Berusia paling kurang 500 juta tahun dan ada sesetengahnya lebih 2 bilion tahun. Kedalamannya kira-kira 140–190 kilometer di bawah permukaan bumi) dan kedua pada litosfera bumi yang terkena hentaman meteorit. Di Malaysia tempat yang tertua adalah Formasi Macichang, Langkawi (berusia Cambrian iaitu lebih kurang 500 juta tahun). Maknanya, di Malaysia tiada intan. Apatah lagi Kota Marudu yang buminya masih muda. Tapi, berdasarkan kajian kemungkinan wujud intan di sempadan antara Sabah Sarawak dan Kalimantan. Adeh... kempunanlah kita, hehe.
Baik... kaitan intan dengan perjuangan? Saya jawab begini, apa ertinya semua keitimewaan intan itu kalau tidak dikeluarkan/terkeluar ke permukaan bumi dan diproses untuk manfaat hidup manusia? Apa ertinya intan itu kalau hanya terperap di dalam perut bumi? Ya, saya yakin anda bersetuju dengan saya bahawa tiada ertinya intan itu walau keistimewaannya setinggi langit, kalau tidak keluar dari `pertapaannya`. Justeru, demikian jugalah ceritanya tentang golongan cerdik pandai (`intan`) di Kota Marudu ini. Saya percaya kita tidak kekurangan golongan seperti ini. Tapi, amatlah malang kalau sekadar cerdik dan pandai tapi tidak mahu/boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan anak bangsa di Kota Marudu. Golongan seperti ini adalah golongan yang hanya mementingkan diri sendiri. Tidak menghiraukan nasib orang-orang di sekitarnya.
Saya teringat kisah sebuah kaum pada zaman dahulu. Kaum ini adalah kaum yang telah rosak akhlaknya. Mereka tidak patuh pada perintah Tuhan yang menciptakan mereka. Mereka angkuh dan sombong kepada Tuhan mereka. Lalu, Allah mengutuskan malaikat untuk menghancurkan kaum itu. Apabila malaikat turun ke bumi, malaikat itu nampak masih ada dua orang sedang sujud kepadaNya. Malaikat itu melaporkan kepada Allah tentang perkara itu. Lantas, Allah berfirman kepada malaikat itu, "... hancurkan yang dua orang itu dulu! Kemudian hancurkan yang lain...". Ini kerana, dua orang yang sedang sujud itu tidak memperdulikan orang di sekitar mereka yang sedang rosak.
Saudara, inilah akibatnya jikalau kita hanya memikirkan diri kita sendiri. Inilah akibatnya kalau kita tidak memikirkan soal pembangunan agama, bangsa dan negara kita. Jadi, saya menyeru khususnya kepada yang belum mendapat seru... keluarlah dari `pertapaan` kalian yang panjang. Sanguru telah merintis jalan keluar dari gua itu, sama-samalah kita mengikut jejaknya... Ya, kita bukan jutawan yang boleh menyumbang berjuta-juta. Kita bukan mahaguru yang penuh berhikmah. Dan... kita bukan pahlawan yang sanggup menggadaikan nyawa. Tapi... sekurang-kurangnya, bersuaralah. Bersuaralah... bersama-sama dengan Suara Anak Marudu (SAM). Demi... membina sebuah tamadun bangsa di Kota Marudu tercinta ini. Janganlah menjadi seperti intan yang hanya terperap di dalam bumi. Keluarlah wahai `intan-intan` Kota Marudu.... Wallahua`lam.
1 comment:
Aku akan berjuang di medan yg telahku pilih. InsyaAllah!
Post a Comment