Magma atau batu cair, di bawah lapisan bumi berada dalam bentuk cecair. Akibat tindak balas suhu dan tekanan, ia sering mencari jalan keluar melalui rekahan-rekahan di lapisan bumi dan akhirnya akan meledak. Kejadian menakutkan ini dinamakan letupan volcano (gunung berapi). Selalunya dengan satu letupan yang hebat, volcano meledak memuntahkan bertan-tan debu dan abu ke atmosfera. Letupan ini membentuk awan-awan hitam yang besar di langit. Kemudian magma mula mengalir di permukaan bumi, menyapu bersih hutan dan bandar-bandar di sekitarnya.
Magma yang mengalir dari volcano ke bumi dinamakan lava. Tidak lama kemudian, lava tersebut akan menjadi sejuk di atas permukaan bumi dan menjadi keras lalu membentuk batu. Apa kaitannya dengan blogging? Mudah sahaja, cuba bayangkan jikalau magma tersebut terkurung di dalam perut bumi. Sudah pasti magma itu akan terkumpul dalam satu jumlah yang besar dan akan mengenakan tekanan dan suhu yang amat kuat kepada permukaan bumi, lantas menghasilkan satu letupan gergasi. Akhirnya, bumi kita mengalami kemusnahan yang dahsyat. Maknanya apa? maknanya, magma itu perlu dikeluarkan agar bumi memperolehi kestabilan semulajadinya.
Demikian juga blogging saudara. Blogging merupakan salah satu cara untuk mengekspresikan 'magma' di dalam hati dan fikiran kita. Jika 'magma' di dalam diri kita dipendam begitu sahaja, alamat rosaklah diri kita sebagaimana musnahnya bumi tadi. Tergugatlah kestabilan diri. Saya fikir, blogging memang cara yang amat praktikal. Kita boleh luahkan dengan panjang lebar mengikut kesukaan kita. Rasanya tiada orang yang sanggup mendengar luahan kita sepanjang apa yang kita luahkan di dalam blog pada ketika ini. Betul tak?
Cuma satu, berakhlaklah semasa mengeluarkan `magma` kita di dalam blog dan biarlah ianya bermatlamatkan perjuangan. Sebagaimana lava volcano boleh menyuburkan tanah untuk pertanian, tapi jangan lupa lava itu juga boleh memusnahkan apa sahaja yang di hadapannya. Blogging juga begitu. Bagaimanapun, tempat yang paling baik untuk kita mengeluarkan 'magma' kita adalah kepada Tuhan yang Maha Esa. Luahkanlah sebanyak manapun. Dia Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Penyayang. Kita pasti dibantu olehNya.
6 comments:
letusan gunung, gempa bumi, sunami, adalah bicara tuhan kpd kita//
Salam tuan,
artikel yang sangat baik dan tepat masanya.penulis blog semua kena ingat ikut saluran dan cara yang betul jgn main hentam tembak ja hehehe
Tq Pn. Syidah & Pn. Kyro.
Kita x nafikan bhw memblog ni banyak mencuri masa kita tapi ada kebaikan sampingan yang kita akan perolehi tanpa sedar. Salah satunya adl kesihatan tubuh badan. Tapi mesti pandai atur masa-lah...hehe
tahniah tuan, satu perbandingan dan nasihat yang cukup bernilai untuk setiap bloger dan peminat blog..
salam
Terima kasih tuan MGS... Moga2 ada manfaatnya utk kita bersama.
Salam
mati itu wajib bagi smua mnusia:p
Post a Comment