
Tanah runtuh dan matlamat hidup. Kaitannya?

Makluman
Selamat Tahun Baru Cina!
Diberikan Betis, Nak Peha. Diberikan Peha, Nak...?

Baik... kita tinggalkan iklan itu sebentar. Kita pergi kepada pokok perbincangan. Saudara, kita selalu dengar, "diberikan betis nak peha...". Rasanya tidak perlu saya menerangkan maksudnya. Saya yakin saudara pun mengetahuinya. Cuma, saya ingin kaitkan peribahasa ini dengan sebuah cerita pendek berkenaan dengan seorang manusia yang bekerja sebagai tukang batu bernama Ali. Yang mahu menjadi makhluk terkuat di muka bumi (kerjaya sebagai tukang batu ini ada kaitan sedikit-sebanyak dengan Ahli Geologi dalam bidang tukul menukul batu).
Ceritanya macam ini... di sebuah kawasan pergunungan, Ali sedang menukul kaki gunung bagi mendapatkan bongkah-baongkah batu untuk dijual. Sedang si Ali khusyuk menukul batu tiba-tiba sang matahari memancarkan cahayanya dengan begitu terik. Ali berasa amat kepanasan. Lalu, dengan sifat tamak yang ada pada Ali, dia bermohon pada Allah SWT untuk menjadikan dirinya sebagai matahari. Kerana dia merasakan matahari itu lebih kuat daripadanya. Allah SWT makbulkan, Ali pun menjadi matahari.
Ali dengan sombongnya mengeluarkan cahayanya sehingga memanaskan tukang-tukang batu yang lain. Tidak semena-mena, sekumpulan awan pun lalu. Apa lagi, cahaya si Ali pun terhalang dek awan yang lalu itu. Si Ali rasa dirinya tercabar dan tidak hebat lagi. Lantas dia berdoa lagi supaya dirinya yang sekarang matahari ditukarkan kepada awan. Dimakbulkan. Kini dia boleh mengalahkan si matahari.
Dalam keadaan dia ketawa terbahak-bahak umpama orang yang baru menang nombor ekor, TOTO (tipu orang tiada otak) ha ha ha, tiba-tiba dia merasakan dirinya bergerak. Rupanya, angin sedang bertiup dan menggerakkan si Ali ke sana-sini. Seperti biasa, Ali masih tidak berpuas hati. Tidak cukup dengan betis dia nak yang lebih atas lagi. Tanpa melengahkan masa Ali berdoa minta dijadikan angin. Dimakbulkan juga.
Dengan menggunakan kegagahannya, dia melanggar semua awan yang menghalangnya. Si Ali merasakan dialah yang paling kuat dan berkuasa kini. Tiba-tiba di satu sudut, pergerakannya terhalang oleh satu tembok yang besar. Apabila dilihat sekitar, rupa-rupanya tembok itu adalah gunung yang ditukulnya sewaktu menjadi tukang batu dahulu.
Justeru, dengan tidak memikir panjang lagi dia berdoa agar ditukarkan daripada angin menjadi gunung. Dengan sifat pemurahNya, dimakbulkan juga permintaannya itu. Kini Ali menjadi gunung yang gah berdiri menjadi pasak bumi. Dengan hati yang haloba, dia melihat sekitar permukaan bumi dengan angkuhnya. Lalu dia menjerit, "... ha ha ha! akulah yang paling perkasa di muka bumi ini!!!..." Gayanya berucap umpama presiden Amerika Syarikat yang baru menang pilihanraya.
Dalam keasyikannya mengalunkan intonasi ucapannya yang ala-ala Presiden Soekarno itu, tiba-tiba terasa semacam ada `semut` menggigit kakinya. Apabila ditoleh, rupa-rupanya kakinya sedang ditukul oleh si tukang batu. Alangkah menyesalnya dia... rupanya si tukang batu itu adalah lebih kuat dan berkuasa daripadanya. Tidak lama lagi gunung itu akan rata dikerjakan oleh si tukang-tukang batu tadi. Tapi... pada masa ini, menyesalpun tidak berguna lagi. Kerana, Allah SWT tidak lagi mendengar doanya. Menangislah si Ali yang kini menjadi gunung menanti saat-saat kemusnahan...
Saudara, demikianlah ceritanya. Apa yang saya faham maksud peribahasa itu adalah, bahawa kita tidak pernah puas dengan apa yang kita ada sekarang (walaupun itulah sebenarnya yang terbaik). Kita inginkan sesuatu yang `lebih` berbanding yang sedia ada. Saya percaya, rata-rata manusia mempunyai sifat seperti ini. Ada baik dan buruknya mempunyai sifat tersebut. Buruknya adalah, orang tamak selalu rugi bagai anjing dengan bayang-bayang. Baiknya pula adalah kita akan terdorong untuk sentiasa berusaha dan berdoa untuk menjadi yang terbaik. Dengan syarat!!! pastikan perubahan itu didasarkan kepada sifat bersyukur dan redha dengan takdir yang Allah SWT tentukan buat kita. Ingat!!! Jangan menjadi seperti orang diberikan betis, nak peha. Siapa tahu pehanya berkurap, ha ha ha. Okey............ semoga ada manfaatnya untuk anda! dan juga untuk saya. Jumpa lagi...
Antara Intan (Diamond) dan Perjuangan Anak Marudu!

Perihal Batu Lumpur (Mudstone) dan Bangsaku Dusun Kimaragang...

“Perihal Batu Lumpur (Mudstone) & Bangsaku Dusun Kimaragang”, tajuk yang pelik kan. Ya, pelik tapi benar. Saudara, dalam bumi ini terdapat 3 kumpulan batuan iaitu batuan sedimen, batuan igneus dan batuan metamorf. Masing-masing mempunyai kaedah pembentukannya yang tersendiri. Tapi saya akan memfokuskan huraian saya kali ini pada batuan sedimen sahaja atau lebih fokus lagi iaitu batu lumpur. Ringkasnya, batuan sedimen terbentuk daripada pemendapan, penyimenan, pembatuan atau proses lain yang bertindak terhadap zarah jirim pepejal atau yang terlarut di dalam air, diendapkan pada suhu normal di permukaan bumi. Saiz butiran batu lumpur ini adalah sangat halus (< 0.005mm). Berwarna cerah hingga gelap, keperangan dan kemerahan. Banyak fosil ditemui di dalam batu jenis ini.
Walaubagaimanapun, batu lumpur merupakan antara batu yang paling lemah jika dibandingkan dengan batuan lain. Kalau batuan lain tidak wujud, batu inilah yang paling kuat, ha ha ha. Kelemahan batu ini amat terserlah apabila ia berada di kalangan batuan yang lain. Misalnya batuan igneus. Apabila berlaku penerobosan batuan igneus, batu lumpur yang berada di sekitar kawasan penerobosan ini akan termetamorf (berubah komposisi mineral, tekstur dan struktur kerana terkena suhu dan tekanan yang tinggi) menjadi batu lain iaitu hornfels. Pada masa itu sifat asal batu lumpur bukan sahaja ketinggalan tapi sudah hilang sama sekali.
Apabila saya memikirkan tentang diri dan bangsa saya... hati saya berbisik bahawa ada persamaan yang kuat dengan cerita batu lumpur tadi. Tidak perlu memandang kepada orang lain, lihat diri sendiri. Dilahirkan dalam sebuah teratak usang. Makanan nasi berlaukkan garam, berkuahkan air sejuk. Dan dibesarkan dalam serba-serbi kekurangan. Sekarang, selepas bekerja barulah boleh bangkit. Ya, baru mula bangkit dari kemiskinan yang panjang. Apabila saya melihat sekeliling, rupanya ada lagi anak bangsa saya yang jauh lebih teruk daripada saya. Sebagai seorang yang cintakan bangsa... pastilah terasa amat sedih.
Tidak dinafikan, ada juga yang berjaya menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan lain-lain. Ada itu ada, tapi boleh dibilang dengan gigi, ha ha ha! Kita masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa yang lain. Ketinggalan dari segi kebebasan berfikir, pendidikan, sosioekonomi, kematangan berpolitik, kaedah-kaedah pembentukan anak bangsa yang cemerlang dan beberapa lagi yang lain.
Saya lihat tabiat yang boleh saya sifatkan sebagai bahaya di kalangan anak bangsa ini adalah budaya minum arak. Walaupun hanya segelintir sahaja yang terlibat, tapi bagi saya arak merupakan salah satu faktor yang memundurkan mereka. Budaya minum arak ini sudah sampai ke tahap keterlaluan. Minum arak secara terbuka tanpa menghiraukan sensitiviti orang lain. Selepas minum arak, banyak pula angkara buruk menyusul. Bergaduh sesama sendiri, pergaulan bebas dan tidak kurang juga berita yang kita dengar banyak kes kematian berlaku akibat daripada arak ini.
Islam jelas mengharamkan arak. Tapi sebagai seorang muslim, kita perlu menghormati hak agama lain yang tidak menghalangnya. Baik, ketepikan dululah sekejap soal hukum-hakam agama. Kita berhujah dari aspek kesihatan. Dari aspek kesihatan, arak itu sesuatu yang mematikan akal. Apabila akal mati, samalah kita seperti binatang yang hanya diberikan nafsu tapi tidak berakal. Bagaimana mungkin `binatang` boleh membangkitkan dan memajukan bangsa kita yang tercinta ini? Hei! Hentikan semua itu... cukuplah. Bangkitlah daripada kemunduran kita yang panjang ini. Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita berusaha memisahkan arak ini daripada terus mencengkam budaya segelintir anak bangsa kita.
Jikalau saya ditanya, apa formula ajaib untuk memajukan bangsa Dusun Kimaragang ini? Saya akan jawab, langkah pertama adalah `perkasakan dulu pemikiran anak-anak bangsa Dusun Kimaragang`. Golongan cerdik pandai daripada bangsa ini mesti turun padang memberikan seminar/kursus motivasi percuma kepada masyarakat Dusun Kimaragang dari kampung ke kampung. Bentukkan persepsi baru kepada mereka. Persepsi lama sudah berkarat dan berulat.
Pertama, sedarkan mereka apa tujuan Tuhan ciptakan kita. Kedua, pastikan setiap anak bangsa ini mempunyai matlamat hidup yang jelas. Ketiga, pandu mereka di dalam merancang bagaimana mencapai matlamat itu. Keempat, tiupkan semangat juang yang tinggi kepada mereka supaya mereka gigih berusaha mencapai matlamat itu. Keenam, install ilmu-ilmu semasa tentang kemajuan kepada mereka. Ketujuh, mentorkan mereka kepada orang-orang berwibawa di kalangan kita.
Selepas itu, senyumlah... melihat perubahan anak bangsa Dusun Kimaragang. Apabila tiba detik-detik manis itu, bakal-bakal YB tidak perlu risau lagi. Calon yang ikhlas dalam perjuangan pasti akan menang. Kerana rakyat pada masa itu mengundi dengan menggunakan akal yang tajam. Bukan dengan nafsu yang dahagakan sekampit beras pilihanraya. Ayuh bangsaku! Bangkitlah daripada status batu lumpur yang lemah kepada batuan igneus yang gagah dan bisa pula mempengaruhi sekitarnya. Wallahua`lam...
Jadilah seperti besi (iron). Kuat dan bermanfaat!
Salah satu peranan Ahli Geologi adalah untuk melaksanakan kajian bagi mengesan kewujudan bijih besi di dalam bumi ciptaan Allah swt ini. Bukan mudah. Pelbagai mehnah dan tribulasi perlu diharungi. Bagi melaksanakan kajian itu, seorang Ahli Geologi terpaksa merentasi hutan belantara, mendaki bukit, menuruni lurah, menyeberang sungai, bermalam di hutan selama berhari-hari lamanya dan bermacam-macam lagi cabaran yang lain. Sedih? Tidak... sebenarnya semua itu sesuatu yang amat menyeronokkan. Ha ha ha!
Ahli Geologi sanggup menghadapi semua cabaran itu demi satu mineral berlogam yang dinamakan besi. Tapi, tahukah anda dari mana asal-usul bijih besi itu? Sebenarnya, astronomi moden telah menyingkap bahawa bijih besi yang wujud dalam bumi ini berasal dari bintang-bintang gergasi di luar angkasa.
Menurut Harun Yahya, Unsur-unsur berat dalam alam semesta adalah dihasilkan di dalam nuklid bintang besar. Sistem solar kita, bagaimanapun tidak mempunyai struktur sesuai untuk menghasilkan besi baginya. Besi hanya dapat dihasilkan dalam bintang yang lebih besar daripada matahari, di mana suhu mencecah beratus juta darjah. Apabila amaun besi melebihi peringkat tertentu dalam sebuah bintang, bintang ini tidak dapat lagi menampungnya, dan akhirnya ia meletup dalam satu letupan yang dipanggil 'nova' atau 'supernova'. Sebagai satu hasil dari letupan ini, meteor yang mengandungi besi berserakan ke seluruh alam semesta, dan mereka bergerak melalui ruang di angkasa sehingga ditarik oleh daya graviti sesuatu jasad di cakerawala. Fenomena ini menunjukkan bahawa besi tidak dihasilkan di dalam bumi, tetapi dibawa dari bintang-bintang yang meletup dalam angkasa melalui meteor, dan telah 'diturunkan ke dalam bumi'.
Demikianlah istimewanya anugerah Ilahi kepada penghuni bumi. Besi didatangkan khas dari angkasa lepas. Dan... Ahli Geologi diamanahkan oleh Allah swt untuk mengesan besi itu. Kemudian, digali dan digunakan untuk manfaat penghuni bumi. Kegunaan besi? banyak sesuai dengan sifatnya yang kuat... terutamanya dalam penggunaan seperti kereta, badan kapal bagi kapal besar, dan komponen struktur bagi bangunan serta lain-lain lagi yang berkaitan. Apa akan jadi pada dunia ini jika Ahli Geologi tiada? Terpaksalah kita menaiki kereta yang diperbuat daripada kayu... ha ha ha. Kesimpulannya, contohilah besi. Bukan sahaja kuat tapi amat bermanfaat. Walaupun asalnya adalah 'makhluk angkasa lepas'... :-)
Teras Bumi (The Core) Berfungsi Seperti Taqwa. Bagaimana?
Kesimpulannya, perkasakan taqwa kita kepadaNya seperti mana perkasanya teras bumi di dalam menghasilkan Jalur Van Allen. Insya-Allah, kita terselamat daripada dosa. Ya, dosa yang pasti mengundang murkaNya. Wallahua`lam...
Saudaraku di Gaza menderita. Apa sumbanganku?
1. Dunia ternampak mengutuk Israel kerana serangan tidak berperikemanusiaannya ke atas Gaza. Tetapi seperti biasa dunia tidak membuat apa-apa. Kenapa tidak? Kerana Amerika Syarikat berada di belakang Israel.
2. Dunia seharusnya juga mengutuk Amerika Syarikat. Pesawat pejuang dan bom yang digunakan adalah buatan Amerika. Jika ada kehilangan senjata, Amerika akan menggantikannya. Dan Amerika juga akan membiayai Israel bagi meneruskan keganasannya.
3. Selagi Amerika menyokong Israel kita akan lihat kebiadaban Israel membelakangkan pendapat dunia dan mereka akan terus membunuh orang Arab Palestin dan menghancurkan penempatan dan bandar mereka.
4. Apabila saya katakan yang Israel menguasai dunia secara proksi, media dan Kerajaan Amerika mengutuk saya. Tetapi hakikatnya ialah hanya calon yang direstui Israel sahaja yang boleh menang pilihanraya di Amerika. Tunggu sahajalah pendirian Presiden baru Amerika.
5. Sementara itu kita harus sedar secara kecil-kecilan kita juga bantu Israel. Buah pisang kaki (persimmon) dari Israel ada dijual di pasaraya Kuala Lumpur.
6. Singapura adalah saluran bagi Israel menembusi pasaran Malaysia.
Sumber: http://test.chedet.com



