“Perihal Batu Lumpur (Mudstone) & Bangsaku Dusun Kimaragang”, tajuk yang pelik kan. Ya, pelik tapi benar. Saudara, dalam bumi ini terdapat 3 kumpulan batuan iaitu batuan sedimen, batuan igneus dan batuan metamorf. Masing-masing mempunyai kaedah pembentukannya yang tersendiri. Tapi saya akan memfokuskan huraian saya kali ini pada batuan sedimen sahaja atau lebih fokus lagi iaitu batu lumpur. Ringkasnya, batuan sedimen terbentuk daripada pemendapan, penyimenan, pembatuan atau proses lain yang bertindak terhadap zarah jirim pepejal atau yang terlarut di dalam air, diendapkan pada suhu normal di permukaan bumi. Saiz butiran batu lumpur ini adalah sangat halus (< 0.005mm). Berwarna cerah hingga gelap, keperangan dan kemerahan. Banyak fosil ditemui di dalam batu jenis ini.
Walaubagaimanapun, batu lumpur merupakan antara batu yang paling lemah jika dibandingkan dengan batuan lain. Kalau batuan lain tidak wujud, batu inilah yang paling kuat, ha ha ha. Kelemahan batu ini amat terserlah apabila ia berada di kalangan batuan yang lain. Misalnya batuan igneus. Apabila berlaku penerobosan batuan igneus, batu lumpur yang berada di sekitar kawasan penerobosan ini akan termetamorf (berubah komposisi mineral, tekstur dan struktur kerana terkena suhu dan tekanan yang tinggi) menjadi batu lain iaitu hornfels. Pada masa itu sifat asal batu lumpur bukan sahaja ketinggalan tapi sudah hilang sama sekali.
Apabila saya memikirkan tentang diri dan bangsa saya... hati saya berbisik bahawa ada persamaan yang kuat dengan cerita batu lumpur tadi. Tidak perlu memandang kepada orang lain, lihat diri sendiri. Dilahirkan dalam sebuah teratak usang. Makanan nasi berlaukkan garam, berkuahkan air sejuk. Dan dibesarkan dalam serba-serbi kekurangan. Sekarang, selepas bekerja barulah boleh bangkit. Ya, baru mula bangkit dari kemiskinan yang panjang. Apabila saya melihat sekeliling, rupanya ada lagi anak bangsa saya yang jauh lebih teruk daripada saya. Sebagai seorang yang cintakan bangsa... pastilah terasa amat sedih.
Tidak dinafikan, ada juga yang berjaya menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan lain-lain. Ada itu ada, tapi boleh dibilang dengan gigi, ha ha ha! Kita masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa-bangsa yang lain. Ketinggalan dari segi kebebasan berfikir, pendidikan, sosioekonomi, kematangan berpolitik, kaedah-kaedah pembentukan anak bangsa yang cemerlang dan beberapa lagi yang lain.
Saya lihat tabiat yang boleh saya sifatkan sebagai bahaya di kalangan anak bangsa ini adalah budaya minum arak. Walaupun hanya segelintir sahaja yang terlibat, tapi bagi saya arak merupakan salah satu faktor yang memundurkan mereka. Budaya minum arak ini sudah sampai ke tahap keterlaluan. Minum arak secara terbuka tanpa menghiraukan sensitiviti orang lain. Selepas minum arak, banyak pula angkara buruk menyusul. Bergaduh sesama sendiri, pergaulan bebas dan tidak kurang juga berita yang kita dengar banyak kes kematian berlaku akibat daripada arak ini.
Islam jelas mengharamkan arak. Tapi sebagai seorang muslim, kita perlu menghormati hak agama lain yang tidak menghalangnya. Baik, ketepikan dululah sekejap soal hukum-hakam agama. Kita berhujah dari aspek kesihatan. Dari aspek kesihatan, arak itu sesuatu yang mematikan akal. Apabila akal mati, samalah kita seperti binatang yang hanya diberikan nafsu tapi tidak berakal. Bagaimana mungkin `binatang` boleh membangkitkan dan memajukan bangsa kita yang tercinta ini? Hei! Hentikan semua itu... cukuplah. Bangkitlah daripada kemunduran kita yang panjang ini. Saya menyeru kepada semua, marilah sama-sama kita berusaha memisahkan arak ini daripada terus mencengkam budaya segelintir anak bangsa kita.
Jikalau saya ditanya, apa formula ajaib untuk memajukan bangsa Dusun Kimaragang ini? Saya akan jawab, langkah pertama adalah `perkasakan dulu pemikiran anak-anak bangsa Dusun Kimaragang`. Golongan cerdik pandai daripada bangsa ini mesti turun padang memberikan seminar/kursus motivasi percuma kepada masyarakat Dusun Kimaragang dari kampung ke kampung. Bentukkan persepsi baru kepada mereka. Persepsi lama sudah berkarat dan berulat.
Pertama, sedarkan mereka apa tujuan Tuhan ciptakan kita. Kedua, pastikan setiap anak bangsa ini mempunyai matlamat hidup yang jelas. Ketiga, pandu mereka di dalam merancang bagaimana mencapai matlamat itu. Keempat, tiupkan semangat juang yang tinggi kepada mereka supaya mereka gigih berusaha mencapai matlamat itu. Keenam, install ilmu-ilmu semasa tentang kemajuan kepada mereka. Ketujuh, mentorkan mereka kepada orang-orang berwibawa di kalangan kita.
Selepas itu, senyumlah... melihat perubahan anak bangsa Dusun Kimaragang. Apabila tiba detik-detik manis itu, bakal-bakal YB tidak perlu risau lagi. Calon yang ikhlas dalam perjuangan pasti akan menang. Kerana rakyat pada masa itu mengundi dengan menggunakan akal yang tajam. Bukan dengan nafsu yang dahagakan sekampit beras pilihanraya. Ayuh bangsaku! Bangkitlah daripada status batu lumpur yang lemah kepada batuan igneus yang gagah dan bisa pula mempengaruhi sekitarnya. Wallahua`lam...