Saya berpandangan, geologi (kajibumi) dan psikologi (kaji tingkahlaku manusia) mempunyai korelasi yang sangat rapat di antara satu dengan yang lain. Kajian-kajian berkaitan dengan hubungkait kedua-dua disiplin ilmu ini kalau ada pun, pastinya terlalu sedikit. Titik pertemuan di antara geologi dan psikologi yang saya nampak adalah pada tanah. Ringkasnya, salah satu komponen bumi adalah tanah. Sementara manusia pula diciptakan daripada tanah. Menurut kajian sains pula, tubuh manusia mempunyai unsur-unsur yang sama dengan tanah. Ianya terdiri daripada beberapa unsur antaranya oksigen, karbon, hidrogen dan magnesium. Berdasarkan perkaitan yang rapat ini, saya berhipotesis bahawa ilmu-ilmu geologi boleh membantu di dalam kerja-kerja psikologi dan demikian juga sebaliknya. Saya bernafsu ghairah menantikan munculnya seorang geologis yang juga merupakan seorang psikologis. Atau seorang psikologis yang juga merupakan seorang geologis. Akan munculkah? Sama-sama kita nantikan...
TAHUKAH ANDA:
Pada umumnya lapisan luar bumi diliputi oleh tanah yang terbentuk daripada hakisan batu, tumbuhan dan haiwan yang reput. Untuk membentuk lapisan pertama tanah berukuran 2.5 sentimeter mengambil masa kira-kira 500 tahun melalui proses semula jadi. Bakteria dan kulat memecahkan bahan-bahan organik untuk menukarkannya menjadi tanah dan akar tumbuh-tumbuhan membantu memecahkan batu untuk tujuan yang sama. Binatang seperti tikus membantu membentuk tanah apabila mereka menggali lubang sekali gus mencampurkan bahan-bahan menjadi tanah. Cacing tanah pula menyuburkan tanah melalui pencernaan bahan-bahan organik dan mengitar nutrien yang ada. Secara purata, tanah terbentuk daripada 45 peratus mineral, 25 peratus air, 25 peratus udara dan lima peratus bahan organik.