"... ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia..." (At-Taubah: 109)
Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, masih ingat? Ya, saya tumpang sedih atas apa yang telah berlaku. Takziah diucapkan kepada keluarga allahyarham/allayarhamah. Didoakan agar roh mereka yang telah pergi akan dicucuri rahmat.
Seperti mana yang kita ketahui, tragedi ini telah menyebabkan kerosakan teruk pada harta benda, kehilangan nyawa dan kecederaan. Amat tragis! Bagaimana insiden ini boleh berlaku? Adakah ianya disebabkan oleh struktur bangunan yang gagal? Adakah disebabkan oleh gegaran jentera berat yang lalu-lalang? Atau adakah disebabkan oleh hantu yang menghuni di kawasan tersebut? Jawapannya mungkin ya dan mungkin juga tidak.
Pakar-pakar yang berkaitan telah memberikan pandangan mereka termasuk pakar geologi dari universiti tempatan. Rakan-rakan Ahli Geologi yang bertugas di HQ dan berhampiran turut bergegas turun ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan. Apa yang saya boleh simpulkan adalah, tanah runtuh boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Tapi, bagi kes di Bukit Antarabangsa tanah runtuh itu berlaku disebabkan oleh tapak bangunan yang lemah. Sehingga tapak ini tidak mampu memikul beban bangunan yang ada di atasnya. Lantas tanah runtuh bersama dengan bangunannya sekali.
Secara geologinya, lemah atau kuatnya tapak ini bergantung kepada beberapa perkara seperti jenis batuan dasar, struktur geologi di kawasan tersebut, sistem air bawah tanah, kecerunan/ketinggian tapak binaan dari paras laut dan pokok/rumput yang menutupi permukaan. Maknanya, bagi mempastikan tapak itu kukuh harus dimuktamadkan bahawa batuan dasarnya keras, tiada/kurang struktur seperti sesar (retakan besar) dan kekar (retakan kecil) terutamanya di bawah tapak pembinaan bangunan tersebut, sistem air bawah tanah yang tidak mengancam keselamatan tapak, kekuatan struktur bangunan yang sepadan dengan kecerunan/ketinggian di mana ia dibina dan pokok/rumput ditanam sebagai penutup permukaan daripada tindakan hakisan.
Saudara, inilah natijah buruk yang kita terima sekiranya kita membina bangunan di atas tapak yang lemah. Demikian jugalah perkaitan di antara diri kita dan matlamat hidup. Diri kita juga akan `runtuh` seperti mana bangunan di Bukit Antarabangsa sekiranya kita tidak mempunyai matlamat hidup yang kuat, tepat dan jelas. Hidup tanpa matlamat umpama kita memanah tanpa sasaran. Bagai kita berjalan di dalam gelap. Seperti seorang buta tidak bertongkat yang terlari-lari dikejar anjing liar. Ya, saya percaya ramai yang tahu betapa perlunya ada matlamat ini. Tapi, saya yakin sedikit sahaja yang tahu bagaimana membentuk matlamat yang kuat, tepat dan jelas. Bagaiamana? Caranya adalah, jangan pisahkan matlamat kita dengan tujuan Allah SWT menciptakan kita. Kalau dipisahkan juga, sia-sialah hidup kita. Hanya fatamorgana.
Baik, tujuan Allah SWT ciptakan kita adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sebagai hamba bertakwa dan memakmurkan bumi ini dengan perintahNya, selaku khalifah. Ada dua kata kunci di sini, iaitu `Hamba Bertakwa` dan `Khalifah`. Ekoran itu, apa sahaja matlamat hidup yang kita bentuk mestilah mengarah ke arah dua kata kunci ini. Kebanyakan kita sedari kecil sudah diajar membentuk matlamat hidup. Malangnya, hampir semuanya sekular! Sebagai contoh, ibubapa/cikgu mungkin pernah bertanya kepada kita, "... Ali, apabila besar awak nak jadi apa?". Biasanya si Ali akan menjawab, "...abapila besar saya nak jadi doktor/guru/jurutera/dll..." Nampak? Hampir mustahil kita pernah mendengar sesiapa sahaja menjawab, "...apabila besar saya nak jadi doktor yang bertakwa dan menggunakan kepakaran saya untuk memakmurkan muka bumi ini..." Betul?
Kesimpulannya... kuat, tepat dan jelaskanlah matlamat hidup kita! Dan, yang paling penting jangan menjadi sekular. Pastikan matlamat yang dibentuk adalah selari dengan tujuan yang Maha Kuasa menciptakan jin dan manusia. Masih ada ruang untuk kita memperbetulkan kesilapan lalu. Tidak kira kita sebagai individu, ibubapa, guru, pemimpin dan seumpama dengannya. Jangan sampai suatu hari nanti, kita akan menyalahkan diri sendiri dan disalahkan pula oleh anak murid atau anak kita kerana kegagalan kita mengajar mereka membentuk matlamat hidup yang sebenar. Selamat mencuba!